57 PEKERJA RIMBUNAN KASEH HILANG PEKERJAAN DAPAT PERHATIAN BAITULMAL

 

REMBAU, 4 Apr - 57 orang peserta Program Desa Rimbunan Kaseh yang hilang pekerjaan sejak Februari lalu akibat pertukaran kontraktor projek di sini telah mendapat perhatian pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan disantuni dalam Majlis Pelancaran Program Sahabat Amin Negeri Sembilan yang diadakan di Dewan Desa Rimbunan Kaseh, Kampung Seberang Batu Hampar, Rembau petang tadi.

Terdahulu, Program Sahabat Amin adalah suatu inisiatif bersama antara Kerajaan Negeri Sembilan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) terdiri daripada Akademi Peranserta Rakyat (AKAR), Pertubuhan Sukarelawan Mosquecare Malaysia dan Wadah Pencerdasan Umat Negeri Sembilan serta sektor swasta merupakan suatu usaha dalam menyantuni keluarga miskin di Negeri Sembilan. Kesemua penerima bantuan adalah terdiri daripada kumpulan berpendapatan rendah yang telah hilang punca pekerjaan di sini.

Dalam majlis yang dirasmikan oleh Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun itu, setiap peserta melalui dana zakat telah menerima baucar bantuan barangan dapur bernilai RM200 selama tiga bulan bermula April 2019. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato' Dr. Razali Ab. Malik, Pegawai Daerah Rembau, Tuan Amino Agos, Pengurus Baitulmal Negeri Sembilan, Ust. Zainal Said serta Penasihat Program Sahabat Amin, Prof. Dr. Rahmatullah Khan.