« Back

KOMPLEKS AL-SA’ADAH HOS KEMUNCAK JELAJAH RAMADAN RTM 2019

 

RAHANG, 7 Mei - Negeri Sembilan merupakan negeri pertama yang menjayakan program Jelajah Ramadan bagi tahun 2019 sebagai acara tahunan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam jelajahnya di seluruh negara. Program yang ringkas dan padat ini telah sampai ke kemuncaknya malam tadi dengan Majlis Penyampaian Duit Raya kepada 200 asnaf muallaf, anak-anak yatim dan pelajar tahfiz di mana Kompleks Al-Sa'adah sebagai pusat kecemerlangan muallaf telah diberi penghormatan sebagai tuan rumah majlis tersebut.

Majlis dimulakan dengan tazkirah kira-kira jam 6.00 petang disampaikan oleh Ust. Zamri bin Ahmad Suhaimi, Ketua Bahagian Infrastruktur Khas, Jabatan Kaunseling dan Infrastruktur Khas, Perbadanan BaitulMal Negeri Sembilan. Majlis diteruskan dengan ucapan YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Hj. Aminuddin bin Harun serta penyampaian duit raya untuk asnaf muallaf.

Para tetamu yang hadir dijamu dengan juadah berbuka puasa dan bersama-sama menunaikan solat Maghrib berjemaah di Kompleks. Seterusnya, majlis disambung dengan penyampaian sumbangan duit raya kepada anak-anak fakir miskin dan pelajar tahfiz yang semuanya terdiri daripada Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim dan Miskin Negeri Sembilan (PEYAKIN), Rumah Kebajikan Darul Aminan, Yayasan Kebajikan Port Dickson, Rumah Kebajikan dan Anak Yatim Al-Khair, pelajar Maahad Tahfiz Raudhatul Ulum serta pelajar muallaf Kompleks Al-Sa'adah, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) disampaikan oleh Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, YB Dato' Zulkefly Mohamad bin Omar.

Turut hadir dalam majlis yang sama YB Dato' Dr. Razali bin Ab. Malik, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan, Abdull Hadi bin Mohd. Yusoff, Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan, YBhg Dato' Hj. Mohamed bin Hj. Husein, Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Ust. Nor Azmi bin Hj. Musa, Ketua Pegawai Operasi, Perbadanan BaitulMal Negeri Sembilan, YBhg Dato' Hj. Zazali bin Salehudin, Yang DiPertua, Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Ust. Norazman bin Amat, Ketua Jabatan Kaunseling dan Infrastruktur Khas, Perbadanan BaitulMal Negeri Sembilan serta ketua-ketua jabatan dan agensi Negeri Sembilan yang lain.

Majlis diteruskan dengan solat Isyak dan Terawih berjemaah, moreh dan diakhiri dengan acara Rewang Negeri FM. Antara penaja utama program adalah Telekom Malaysia Berhad (TM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Saaka Nilai Sdn. Bhd, Galeri Muslim dan Melewar Kitchen.