« Back

MAJLIS MAKAN MALAM KONVOI KEMBARA ZAKAT 2019

 

 

 

KUALA TERENGGANU, 23 Apr - Untuk kesekian kalinya, Jabatan Wakaf Zakat & Haji (JAWHAR) bersama-sama dengan Majlis Agama Islam Negeri-negeri dan Agensi Mengurus Zakat Negeri-negeri terus memperkasakan institusi zakat dengan menganjurkan Konvoi Kembara Zakat (KKZ) Peringkat Kebangsaan kali ke-7 2019 di Kuala Terengganu bermula 23 April sehingga 25 April ini. Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu-Official (MAIDAM) yang mengambil giliran sebagai tuan rumah tahun ini telah berjaya menyempurnakan Majlis Makan Malam KKZ 2019 sebentar tadi sebagai tanda selamat datang buat semua kontinjen zakat dari 19 buah negeri yang mengambil bahagian.

Majlis yang bermula sekitar jam 8 malam tadi dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ketua Pengarah JAWHAR, Tn. Hj. Ruslan bin Said dan dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Tn. Hj. M. Rozi bin Bidin. Turut hadir Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Zakat) MAIDAM, En. Nazli Amirri bin Ngah, Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Ust. Ahmad Shukri Yusoff serta dif-dif kehormat yang lain. Tema konvoi pada tahun ini adalah ‘Al-Barakah: Kembara Tranung Kite Melebar Rahmah.'

Selain jamuan makan malam yang bertempat di Dewan Kenanga Club House Terengganu Equestrian Resort (TERs), para peserta kontinjen juga menerima taklimat program, perjalanan dan lokasi lawatan oleh wakil MAIDAM serta taklimat peraturan dan keselamatan jalan raya oleh wakil PDRM. Majlis diakhiri dengan sesi fotografi dan bersurai sekitar jam 10.30 malam.