« Back

Majlis Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat NS

 

Majlis Penutup & Penyampaian Hadiah Majlis Menghafaz & Tilawah Al-Quran Peringkat N.Sembilan

PAROI, 29 MAC - Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan merasmikan Majlis Penutup Penyampaian Hadiah Majlis Menghafaz dan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sembilan 2018M/1439H yang telah berlangsung di Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan, malam tadi.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan.

Turut berkenan hadir, DYMM Tunku Ampuan Besar Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Ulasan dan pengumuman keputusan telah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) merangkap Pengerusi Jemaah Hakim, Dato' Haji Selamat Paigo.

Seramai 34 peserta telah mengambil bahagian dalam pertandingan Majlis Menghafaz Al-Quran, manakala bagi Majlis Tilawah Al-Quran pula seramai 44 peserta yang mewakili tujuh daerah di sekitar Negeri Sembilan.

Setiap peserta diadili oleh 16 barisan hakim bagi pertandingan Menghafaz Al-Quran dan 13 hakim bagi Tilawah Al-Quran.

Dalam majlis ini, kategori Remaja Lelaki dimenangi oleh Muhammad Khairul Asyraf Kamaludin. Manakala kategori Remaja Perempuan dimenangi Athirah Azraie. Masing-masing membawa pulang wang tunai RM3,000, piala pusingan, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Bagi kategori Dewasa Lelaki pula dimenangi Ahmad Basyir Abu Bakar yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000 serta hadiah menunaikan haji bernilai RM12,000.

Kategori wanita pula dimenangi Nur Natasha Azeze Shariman Azeze yang turut membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000.

Antara lain, kategori Veteran Lelaki dimenangi Abdul Mukti L.Ali, manakala Maimon Harun memenangi Kategori Veteran Wanita. Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan hadiah iringan.

Selain itu, daerah Seremban sekali lagi telah dinobatkan sebagai daerah yang memperoleh markah tertinggi keseluruhan.

Turut hadir, Tunku Besar Tampin, YTM Tunku Syed Razman ibni Almarhum Tunku Syed ‘Idrus al-Qadri; Undang Luak Johol, YTM Datuk Muhammad Abdullah; Undang Luak Rembau, YTM Dato' Haji Muhammad Sharip Haji Othman.

Antara lain, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Seri Dr Haji Awaludin Said; Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato' Seri Haji Mat Ali Hassan; Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Sohibus Samahah Dato' Haji Mohd Yusof Haji Ahmad dan Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Dato' Haji Kamal Amran Kamarudin.