« Back

Majlis Penyampaian Bantuan Perkapita Dan Dermasiswa MAINS

 

SEREMBAN, 28 JULAI - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah mengagihkan sebanyak RM1.3 juta bagi Bantuan Perkapita dan RM645,000 Dermasiwa MAINS bagi tahun 2017 kepada Institusi Pendidikan Islam di Negeri Sembilan.

Majlis perasmian dan penyerahan sumbangan telah disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi MAINS, YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan di Klana Resort, Seremban, hari ini.

Seramai 18,660 murid daripada 148 buah institusi menerima Bantuan Perkapita yang telah disalurkan kepada sekolah-sekolah didaftarkan iaitu Sekolah Menengah Agama Negeri, Tahfiz dan Madrasah (TAHMAD), Tadika Islam Swasta (TAIS), Sekolah Agama Rakyat (SAR), Kelas Agama Fardhu Ain (KAFA), Sekolah Menengah Agama Swasta (SRAS) serta Sekolah Rendah Tahfiz Swasta (SRTAS).

Manakala Bantuan Dermasiswa MAINS telah disalurkan kepada pelajar-pelajar yang menerima pendidikan di 17 buah institusi iaitu Sekolah Menengah Agama Negeri dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan sahaja.

Turut hadir, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Sohibus Samahah Dato' Haji Mohd Yusof Haji Ahmad; Pengarah JHEAINS, Dato' Haji Selamat Paigo; Pemangku Pengarah Pendidikan Negeri, Tuan Pkharuddin Haji Ghazali dan Setiausaha MAINS, Tuan Haji Kamal Amran Kamarudin.