« Back

Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan DUN Rantau

 

RANTAU, 19 DIS - Sebanyak RM16,950 telah diperuntukkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bagi tujuan agihan Bantuan Persekolahan Sesi 2018 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Rantau di Kompleks Islam Rantau, Masjid Imam Haji Kahar, hari ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan ditemani isteri, YM Raja Datin Seri Dato' Hajjah Salbiah Tengku Nujumudin hadir bagi menyempurnakan perasmian serta penyampaian bantuan di majlis tersebut.

Bantuan Persekolahan 2018 yang telah disampaikan ini adalah bagi meringankan beban ibu bapa dalam golongan asnaf selain memberi suntikan semangat persekolahan kepada anak-anak asnaf di sini.

Agihan bantuan persekolahan tersebut terdiri daripada Pra Sekolah dan masing-masing menerima RM 150 setiap seorang, Sekolah Rendah menerima RM 200, Sekolah Menengah menerima RM 250 dan pelajar Vokasional menerima RM 500.

Selain itu, sebanyak RM47,200 juga telah diagihkan kepada 236 penerima bantuan bulanan DUN Rantau sebagai saguhati dengan jumlah RM200 setiap seorang.

Turut diadakan, peperiksaan rawatan perubatan percuma buat asnaf yang hadir oleh Klinik Pakar Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Hadir sama, Pegurus Baitulmal MAINS, Ustaz Zainal Said dan Pegawai Baitulmal Daerah Seremban, Ustaz Ilya Shairazi.