« Back

Majlis Penyampaian Hadiah Tilawah Al-Quran Port Dickson

 

Majlis Penyampaian Hadiah Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Port Dickson

PORT DICKSON, 14 FEB - Yang Teramat Mulia (YTM) Undang Luak Sungei Ujong, Dato' Klana Petra Dato' Haji Mubarak Dohak berkenan menyempurnakan Majlis Penutup dan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Port Dickson, malam tadi.

Majlis anjuran Pejabat Agama Islam Daerah Port Dickson (PD) dengan kerjasama Pejabat Daerah Dan Tanah PD telah diadakan di Masjid Qariah Janging, Port Dickson melibatkan 28 qari dan qariah dari sekitar Daerah Port Dickson.

Tiga kategori telah dipertandingkan di antaranya kategori remaja (lelaki dan perempuan), kategori dewasa (lelaki dan perempuan) dan kategori veteran (lelaki dan perempuan).

Majlis diserikan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh johan kategori dewasa lelaki, Mohd Hazwan Hamdan.

Hadir sama, Dato' Shahbandar Sungei Ujong, Yang Amat Mulia (YAM) Dato' Seri Utama Haji Badarudin Haji Abdul Khalid; Pegawai Daerah Port Dickson, Tuan Khairy Maamor dan Pegawai Agama Islam Daerah Port Dickson, Ustaz Abd Manas Isa.