« Back

Majlis Perasmian Bangunan Darul Asnaf Seri Tanjung

 

KUALA PILAH, 30 JULAI - Majlis Perasmian Darul Asnaf Seri Tanjung telah disempurnakan hari ini oleh Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, YBSS Dato' Haji Mohd Yusof Haji Ahmad.

Penubuhan Darul Asnaf Seri Tanjung merupakan satu usaha professional, berwawasan dan berfokus untuk melahirkan generasi asnaf yang cemerlang dari pelbagai sudut seperti berilmu pengetahuan agama, pencapaian akademik yang gemilang serta yang paling utama bersahsiah dengan keperibadian akhlak mulia.

Matlamat utama penubuhan ini juga bertujuan mewujudkan ruang dan peluang kepada pelajar asnaf yang berpotensi untuk mendapatkan pendidikan dengan kemudahan yang teratur, sempurna dan terkini dalam suasana iklim pembelajaran yang konduksif dan islamik.

Justeru itu, pelajar-pelajar asnaf lelaki di Darul Asnaf Seri Tanjung ini dipilih daripada seluruh daerah di Negeri Sembilan dan mereka bersekolah di Sekolah Menengah sahaja, setakat ini seramai lapan orang pelajar di tingkatan satu, 22 orang pelajar di tingkatan dua manakala 10 orang lagi di tingkatan tiga.

Di majlis yang sama, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan turut merasmikan Perpusatakaan Al-Ghazali yang terdapat di Bangunan Darul Asnaf Seri Tanjung ini.

Hadir sama, Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Tuan Haji Kamal Amran Kamarudin; Pewakaf, Datin Norsimah Haji Meon; Pengurus Kompleks Al - Sa'adiah, Encik Muhammad Adnan Abdullah dan Pengurus Kewangan MAINS, Tuan Haji Azzerol Effendi Abdul Kadir.