« Back

MAJLIS TILAWAH AL-QURAN TAHUNAN MRA 1435H / 2013M

SEREMBAN, 22 Dis 2013 – Persatuan Darus Sa'adah Muslim Revert Association (MRA) Negeri Sembilan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah menganjurkan Majlis Tilawah Al-Quran Tahunan MRA 1435H/2013M yang bertempat di Kompleks As-Sa'adah, Rahang, dekat sini.

Majlis yang dianjurkan buat kali ke-8 ini merupakan salah satu program tahunan yang dijalankan oleh MRA di mana pada tahun ini seramai 180 peserta telah mengambil bahagian.

Menurut Penolong Bendahari MRA, Puan Hajah Aslina Pooa Abdullah, program kali ini menumpukan pelbagai objektif utama antaranya adalah bagi memupuk semangat ingin mempelajari Al-Quran dalam kalangan saudara baru serta menjalinkan ukhuwah dan silaturahaim antara saudara baru yang datang dari pelbagai latar belakang dan kaum.

Sebanyak 5 kategori telah dipertandingkan pada kali ini dimana antaranya kategori dewasa lelaki dan perempuan (18 tahun ke atas), kategori remaja lelaki dan perempuan (bawah 18 tahun), anak-anak lelaki dan perempuan (sekolah rendah darjah 1-6) dan kategori khas yang melibatkan anak-anak serta saudara baru bagi kategori menghafaz surah-surah pilihan serta bacaan iqra'.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (Bahagian Dakwah) JHEAINS, Al-Fadhil Ustaz Amran Bin Awaludin, telah menyempurnakan majlis penutup program tersebut.

Dalam majlis itu, beliau berkesempatan menyampaikan bantuan dermasiswa kepada anak-anak ahli persatuan MRA serta bantuan banjir kepada salah seorang anak kepada ahli MRA yang menetap di Pahang.

Pertandingan tilawah kali ini di adili oleh 6 orang juri daripada persatuan MRA serta MAINS. Pada masa yang sama pihak MRA juga turut mengadakan sesi cabutan bertuah dan ceramah motivasi serta kuiz agama kepada anak-anak dan saudara baru yang menyertai tilawah pada tahun ini.

Turut hadir sama adalah Yang Di Pertua Muslim Revert Association, En. Abdul Halim Lim bin Abdullah.

Oleh : Izzat