MASJID SEREMBAN, PORT DICKSON TERIMA BANTUAN TAHUNAN RM212,500

 

SEREMBAN, 10 Mei - Dalam memastikan institusi masjid di negeri ini terus dibantu dari segi kewangan, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) melalui Perbadanan BaitulMal Negeri Sembilan telah menganjurkan Majlis Penyampaian Bantuan Tahunan Masjid-masjid Daerah Seremban dan Port Dickson 2019 bertempat di Dewan Ballroom Menara MAINS pagi tadi. Sebanyak 62 buah masjid dari daerah Seremban dan 23 buah masjid dari daerah Port Dickson telah terlibat dengan setiap masjid menghantar dua orang wakil ke majlis tersebut.

Majlis dimulakan dengan taklimat zakat disampaikan oleh Ust. Zainal Said, Ketua Jabatan Zakat, Perbadanan BaitulMal Negeri Sembilan. Taklimat yang disampaikan berkisar agihan zakat dan pengenalan struktur organisasi baharu MAINS dan Perbadanan BaitulMal Negeri Sembilan.

Keberangkatan tiba tetamu kehormat, Yang Teramat Mulia Dato' Klana Dato' Hj. Mubarak bin Dohak, Undang Luak Sungei Ujong disertai YAM Dato' Seri Utama Hj. Baharudin bin Abdul Khalid, Dato' Shahbandar Sungei Ujung sekitar jam 10.15 pagi disambut oleh YBhg Dato' Hj. Mohamed bin Hj. Hussein, Pengerusi MAINS dan Ust. Zaidi bin Ramli, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) serta dif-dif kehormat. Dalam majlis yang penuh ringkas itu, Yang Teramat Mulia Undang Luak Sungei Ujong telah berkenan menyampaikan bantuan tahunan kepada 62 buah masjid dari daerah Seremban berjumlah RM155,000 dan 23 buah masjid dari daerah Port Dickson berjumlah RM57,500 di mana setiap masjid menerima RM2,500.

Turut hadir Sahibus Samahah, Dato' Hj. Mohd. Yusof bin Hj. Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, YB Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negeri Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dr. Mohamad Rafie bin Ab. Malek, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Ampangan, YM Dato' Amar Setia Ahmad Nazir bin Dato' Klana Petra Hj. Mubarak, YBhg. Ust. Nor Azmi bin Hj. Musa, Ketua Pegawai Operasi, Perbadanan BaitulMal Negeri Sembilan, Ust. Rozimi bin Zamri, Pegawai Agama Islam Daerah Seremban, Ust. Shafie bin Muhammad, Pegawai Agama Islam Daerah Port Dickson serta dif-dif jemputan.