« Back

MB Sempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan

 

PAROI, 18 DIS - Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan 2018 kepada asnaf fakir miskin bagi DUN Paroi dan Ampangan bertempat di Masjid At-Taqwa, Kampung Paroi, hari ini.

Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) melalui Pejabat Baitulmal Daerah Seremban telah memperuntukkan bantuan persekolahan sebanyak RM 59,100 kepada 104 penerima berkelayakan terdiri daripada keluarga golongan asnaf yang mempunyai anak yang masih bersekolah.

Bantuan kelengkapan persekolahan turut diberikan yang terdiri daripada dua pasang baju kurung sekolah, dua pasang kemeja sekolah, sepasang baju melayu, dua helai tudung, dua pasang kasut serta dua pasang stokin.

Selain itu, Menteri Besar turut menyampaikan bantuan bulanan kepada 104 penerima asnaf fakir dan miskin dari kariah Masjid At-Taqwa, Paroi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, YB Dato Haji Abu Ubaidah Haji Mohd Redza; ADUN Paroi, YB Tuan Haji Mohd Ghazali Abd Wahid; Setiausaha MAINS, Tuan Haji Kamal Amran Kamarudin dan Pegawai Masjid At-Taqwa Paroi, Haji Shamsuddin Awaluddin.