« Back

MIISMAM Peringkat Kebangsaan 2018

 

Selangor Juara Keseluruhan MIISMAM Peringkat Kebangsaan 2018

GEMENCHEH, 29 JULAI - Negeri Selangor dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) Peringkat Kebangsaan Tahun 2018 yang diumumkan dalam Majlis Penutupan Majlis Ihtifal Ilmi MIISMAM Peringkat Kebangsaan 2018 di Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN).

Naib Johan telah dimenangi Negeri Johor dan diikuti Negeri Kedah di tempat ketiga.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Tuan Haji Aminuddin Harun hadir menyempurnakan majlis penutupan tersebut.

Program anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini berlangsung selama tiga hari bermula pada 27 Julai 2018 dan telah dijalankan di Maahad Ahmadi Negeri Sembilan (MANS) dan ITQAN.

Antara acara yang dipertandingkan adalah Tilawah Al-Quran (L/P), Hafazan Al-Quran (L/P), Syarahan Bahasa Melayu (L/P), Syarahan Bahasa Arab (L/P), Syarahan Bahasa Inggeris (L/P), Kitabatul Maqal (L/P), Khat (L/P), Nasyid (L/P), Pembacaan Kitab Turath (L), Kuiz Dini (Terbuka) dan Bahas Ala Parlimen (Terbuka).

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sembilan, YB Tuan Zulkefly Mohamad Omar; Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dr. Razali Ab Malik; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Hajjah Hakimah Mohd Yusoff; Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS),Dato' Haji Mohamed Haji Husein; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Dato' Haji Selamat Paigo dan Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Dato' Haji Kamal Amran Kamarudin.