« Back

Pengisytiharan Majlis Perbandaran Jempol

 

JEMPOL, 29 JAN - Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menyempurnakan pengisytiharan Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) bagi menggantikan Majlis Daerah Jempol (MDJL) malam tadi.

Turut berkenan hadir DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Keberangkatan Baginda diiringi Menteri Besar Negeri Sembilan,YAB Datuk Seri Aminuddin Harun dan Yang Dipertua MPJL, Raja Norazli Raja Nordin.

Dalam majlis yang diadakan di Dataran MPJL ini Tuanku Muhriz menandatangani plak pengisytiharan dengan disaksikan kira-kira 4,000 penduduk sekitar Daerah Jempol.

Majlis Perbandaran Jempol adalah majlis perbandaran yang keempat di negeri ini selepas Majlis Perbandaran Seremban, Nilai dan Port Dickson.

MDJL telah mencapai tujuh kriteria ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membolehkannya dinaik taraf sebagai majlis perbandaran.

Antaranya adalah mencapai jumlah penduduk tidak kurang daripada 150,000 orang, memperoleh hasil tahunan tidak kurang daripada RM20 juta dan mempunyai kegiatan perindustrian, perniagaan, pelancongan dan perumahan utama.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Dr. Razali Ab Malik, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Sohibus Samaha Dato' Haji Mohd Yusof Haji Ahmad dan Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Dato' Haji Kamal Amran Kamarudin.