« Back

Penyampaian Bantuan Asnaf Fakir Miskin Kawasan Chembong

 

REMBAU, 29 NOV – Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Dato' Haji Mohamed Haji Hussein merasmikan Program Rasulullah S.A.W. Ikutan Kami dan Penyampaian Bantuan Asnaf Fakir Miskin Kawasan Chembong, hari ini.

Program yang diadakan di Masjid Kariah Dr Haji Mohammad Eusoff Teh, Rembau itu dihadiri kira-kira seramai 300 peserta yang terdiri daripada asnaf dan masyarakat sekitar kawasan Chembong .

Sebanyak RM 28, 500 bantuan tambahan telah diperuntukkan oleh pihak MAINS melalui Pejabat Baitulmal Daerah Rembau bagi diagihkan kepada 285 orang asnaf dari 19 buah kariah di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong dan setiap asnaf menerima RM100 seorang.

Turut diadakan penyampaian bantuan sekolah sesi tahun 2019 berupa pakaian sekolah, baucer kasut sekolah serta cek bantuan awal persekolahan kepada para asnaf yang terlibat.

Sebanyak RM90,000 telah diperuntukkan bagi tujuan bantuan persekolahan untuk kawasan sekitar Daerah Rembau.

Bantuan tersebut adalah inisiatif Pihak MAINS bagi membantu meringankan bebanan para asnaf dalam menyediakan kelengkapan persekolahan bagi sesi baharu akan datang.

Selain itu juga, ceramah motivasi bertajuk ‘Rasulullah S.A.W. Ikutan Kami' telah disampaikan oleh Pencermah Jemputan Ustaz Wan Naqi Norhafiz Wan Agil.

Turut hadir, Pengurus Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Ustaz Zainal Said, Pegawai Baitulmal Daerah Rembau, Ustaz Abd Hadi Abd Aziz,Penyelia Baitulmal Daerah Rembau, Ustaz Suhaimi Abd Aziz, Pegawai baitulmal Daerah Seremban, Ustaz Zahid Mohamad dan Penyelia Baitulmal Cawangan Gemas, Ustaz Helmi .