« Back

Perarakan Dan Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-61

 

Perarakan Dan Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-61 bertemakan "Sayangi Malaysiaku".

SEREMBAN, 31 OGOS - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir serta Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Duli Yang Maha Mulia, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud berkenan hadir mencemar duli bersama-sama rakyat Negeri Sembilan bagi menyambut Sambutan Kemerdekaan Kali Ke - 61 bertemakan "Sayangi Malaysiaku" yang telah berlangsung di Dataran Majlis Pembandaran Seremban, hari ini.

Turut berkenan hadir, Undang Luak Rembau,Yang Teramat Mulia (YTM),Dato' Lela Maharaja Dato'Haji Muhamad Sharip Haji Othman; Undang Luak Sungei Ujong,Yang Teramat Mulia(YTM), Dato'Haji Mubarak Dohak; Tuanku Besar Tampin,YTM Tuanku Syed Razman Ibni Al-Marhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri; Tuanku Besar Seri Menanti,YAM Tunku Ali Redhauddin dan YAM Tuanku Zain Al-Abidin.

Turut hadir memeriahkan program, Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Tuan Haji Aminuddin Harun dan isteri YABhg, Puan Wan Hasni Yusuf.

Program ini dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Sohibus Samahah, Dato' Haji Mohd Yusuf Haji Ahmad.

Sejumlah 90 kontinjen dari semua agensi kerajaan dan swasta yang dianggotai seramai 5400 orang peserta telah turut serta dalam perarakan sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-61 ini.

Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) turut terlibat dengan menghantar skuad kontinjen yang terdiri daripada kakitangan dari pelbagai unit jabatan bagi menjayakan program yang cukup bermakna ini.

Kehadiran ribuan rakyat penduduk seluruh Negeri sembilan turut memeriahkan suasana dengan pelbagai acara diadakan seperti 5 das tembakan meriam dari Skuad Briged 1 unit artileri.

Turut Hadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Dato' Haji Selamat Paigo.