« Back

Program Indahnya Dhuha

 

Program "Indahnya Dhuha" Serta Penyampaian Bantuan Asnaf Dan Fakir Miskin DUN Juaseh

JUASSEH, 29 MAC - Seramai 307 asnaf dan fakir miskin dari seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Juasseh telah menerima bantuan tambahan dari pihak Baitulmal Daerah Kuala Pilah bertempat di Masjid Desa Anggerik, hari ini.

Sebanyak RM61,400 telah diperuntukkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk diagihkan kepada para asnaf yang hadir dimana setiap asnaf menerima RM200 seorang beserta barang keperluan dapur sebanyak RM50.

Majlis perasmian dan penyampaian telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan Merangkap ADUN Kawasan Juaseh, YB Dato'Haji Mohamad Razi Haji Kail diiringi Pegawai Baitulmal Kuala Pilah, Puan Sri Rahayu Sarifin.

Dalam program yang sama turut diadakan aktiviti pemeriksaan kesihatan bagi golongan asnaf dan fakir miskin oleh Unit Klinik Pakar Kesihatan Universiti Islam Sains Malaysia ( USIM ) dan diketuai Timbalan Pengarah Dr. Fatimah Begum Syed Muhideen.

Antara lain, turut diselitkan ceramah motivasi "Indahnya Dhuha" yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Majlis Agama Islam Kuala Pilah Ustaz Mohd Hidayat Abdul Hamid.

Hadir sama, Pegawai Khas Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan Universiti Islam Malaysia (USIM), Profesor Mohd Taufik Mohd Nor; Pegawai Baitulmal Kuala Pilah, Puan Sri Rahayu Sarifin dan Pengerusi Masjid Desa Anggerik, Tuan Haji Mohd Rosli Ibrahim.