« Back

Program Konvoi Kembara Zakat Kebangsaan (KKZ) 2017

 

PROGRAM Konvoi Kembara Zakat Kebangsaan (KKZ) 2017 yang berlangsung selama tiga hari iaitu pada 24 hingga 26 September 2017 anjuran Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR) dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) telah terlaksana dengan jayanya.

Terdahulu, konvoi seperti ini pernah diadakan di Wilayah Persekutuan, Selangor, Pahang, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak.

Ternyata program yang membawa pengisian khusus kepada agihan zakat dan serahan sumbangan kepada golongan berkeperluan ini memberi manfaat yang besar kepada masyarakat yang terlibat khususnya golongan asnaf fakir dan miskin yang sentiasa mendapat perhatian bagi penyaluran bantuan termasuk kepada masyarakat Orang Asli.

Konvoi yang bertemakan ‘Kembara Al-Barakah Di Bumi Perpatih' ini telah menjelajah ke beberapa daerah di Negeri Sembilan iaitu Port Dickson, Rembau, Kuala Pilah dan Seremban.

Pada tarikh 25 September yang menjadi kemuncak kepada program ini telah berlangsung acara pelepasan Konvoi Kembara Zakat Kebangsaan 2017 yang membabitkan penyertaan seramai 201 peserta terdiri daripada warga kerja JAWHAR, Agensi Mengurus Zakat (AMZ) serta MAINS.

Gabungan kerjasama yang baik juga berlaku di antara peserta lain yang terlibat iaitu Negeri FM, Kelab Satria Bikers, Sinar Harian dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pelepasan konvoi ini telah telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JAWHAR, Tuan Haji Musadad Haji Sulaiman.

Para peserta Konvoi Kembara Zakat terbahagi kepada dua kumpulan untuk menjalankan aktiviti ziarah dan gotong-royong.

Konvoi Kumpulan Satu bergerak ke Kampung Sungai Raya, Port Dickson bagi menjalankan aktiviti ziarah ke beberapa buah rumah di kawasan tersebut. Ziarah telah dilakukan ke rumah Puan Sakinah Ahmad, Puan Maimunah, Encik Karim Abdul dan Encik Yusof.

Manakala konvoi Kumpulan Dua telah berkunjung ke rumah Encik Mohamad Mustakin dari Kampung Tanjung Agas bagi menjalankan aktiviti gotong royong.

Pada petangnya, peserta Konvoi Kembara Zakat Kebangsaan singgah di Darul Asnaf Seri Tanjung Kuala Pilah yang menempatkan anak asnaf fakir miskin dari seluruh Negeri Sembilan bagi menziarahi anak-anak yang kurang berkemampuan dari golongan yang berpendapatan rendah di asrama mereka.

Seramai 30 anak-anak asnaf fakir miskin telah diberikan bantuan penginapan asrama, pembelanjaan keperluan harian, peralatan sekolah, makan minum, penginapan dan duit belanja sekolah daripada hasil dana zakat dan wakaf yang diperolehi di Negeri Sembilan.

Turut hadir, Pengurus Baitulmal MAINS, Ustaz Zainal Said dan Pengarah Program, Ustaz Mohd Suhaimi Mohd Aziz.