RM70,700 BANTUAN RAYA UNTUK ASNAF FAKIR MISKIN, SURAU, MASJID SENALING & JUASSEH

 

SENALING, 10 Mei - Sebanyak RM70,700 dana zakat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) melalui Perbadanan BaitulMal Negeri Sembilan telah diperuntukkan untuk 24 penerima asnaf fakir miskin, 24 buah masjid dan 7 buah surau kawasan Senaling dan Juasseh sebagai bantuan hari raya dan saguhati tahunan 2019. Penyampaian telah dilaksanakan dalam Majlis Berbuka Puasa bersama DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan bertempat di Masjid Kariah Senaling malam tadi.

DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir telah berkenan menyampaikan kurnia bantuan hari raya dan saguhati tahunan kepada semua penerima dengan setiap asnaf fakir miskin menerima RM300 setiap seorang, RM500 setiap surau dan RM2500 untuk setiap masjid. Majlis dimulakan dengan keberangkatan tiba DYMM Tuanku bersama DYMM Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud pada jam 6.50 petang diikuti dengan berbuka puasa bersama dif-dif kehormat dan orang ramai. Semua bantuan disampaikan selepas solat Terawih dan moreh. Majlis berakhir kira-kira jam 11.00 malam.

Hadir sama YAM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, YM Tunku Kecil Muda, Tengku Dato' Seri Hasmuddin bin Tengku Othman, Tn. Hj. Md. Rais bin Mohamad, Penyelaras DUN Senaling, YBhg Dato' Kamal Amran bin Kamarudin, Setiausaha MAINS, Ust. Zainal bin Said, Ketua Jabatan Zakat, Perbadanan BaitulMal Negeri Sembilan, Ust. Mohd. Hasni bin Zulkifle, Ketua Wilayah Timur, Perbadanan BaitulMal Negeri Sembilan, Ust. Mahadi bin Ali, Ketua Bahagian Agihan, Jabatan Zakat, Perbadanan BaitulMal Negeri Sembilan, Pengerusi Masjid Kariah Senaling, Tn. Hj. Mohd. Arif bin Muhamad serta dif-dif jemputan.