« Back

Taklimat Hilal dan Cerapan Rasmi Hilal Ramadhan

 

Taklimat Hilal dan Program Cerapan Rasmi Hilal Ramadhan

PORT DICKSON, 15 MEI - Tunku Besar Seri Menanti, Yang Amat Mulia Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz berkenan hadir ke Program Cerapan Rasmi Hilal Ramadhan, yang berlangsung di Balai Cerap, Kompleks Baitul Hilal Port Dickson, hari ini.

Kebawah Kaus Yang Teramat Mulia Undang Luak Johol, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Datuk Haji Muhammed Abdullah dan YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Tuan Haji Aminuddin Harun turut serta dalam majlis kali ini.

YAM Tunku Ali diberi taklimat mengenai penetapan tarikh awal Ramadhan 1439H/2018M oleh Pengarah Ukur Bahagian Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Dr Azhari Mohamed, seterusnya berangkat untuk menyaksikan cerapan dan lawatan serta solat Maghrib bersama hadirin.

Kira-kira 100 pelajar dan guru pengiring dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Teluk Kemang, SMA Labu, SMA Haji Mohd Yatim, Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Malaya, turut sama menyertai program ini.

Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Dato' Haji Mohamad Yusof Haji Ahmad mengumumkan keputusan cerapan Hilal Ramadhan 1439H yang diadakan di sini adalah tidak kelihatan berdasarkan kepada data yang disediakan oleh Pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia yang menunjukkan bahawa Hilal hari ini tidak menepati kriteria imkan al- Rukyah 1991.

Namun begitu, penetapan tarikh 1 Ramadhan 1439H adalah tertakluk kepada Pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Turut hadir, Setiausaha MAINS, Dato' Haji Kamal Amran Kamarudin dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan; Dato' Haji Selamat Paigo.