MB LAWAT PELAJAR NEGERI SEMBILAN DI MESIR

KAHERAH - Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Aminuddin Harun bersama dengan wakil-wakil Kerajaan Negeri dan delegasi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) sedang dalam lawatan kerja ke Mesir dan Maghribi bagi tujuan mengeratkan kerjasama dua hala dalam sektor pendidikan sambil menangani segala permasalahan pelajar Negeri Sembilan di kedua-dua negara tersebut.

Berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 2.30 pagi Ahad lalu, keseluruhan delegasi telah selamat tiba di Lapangan Terbang Kaherah, Mesir pada jam 10.15 pagi waktu tempatan dengan disambut pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah.

Tempat lawatan pertama adalah ke Rumah Negeri Sembilan Kaherah (RNSK) yang menempatkan seramai 79 orang pelajar dari Negeri Sembilan bagi melihat segala permasalahan pelajar dan menilai mekanisme naiktaraf prasarana tempat tinggal serta kemudahan. Mesyuarat bersama delegasi dan pihak RNSK berlangsung selama satu jam dengan beberapa cadangan kerja-kerja penambahbaikan akan dilakukan antaranya pendawaian semula litar elektrik, kemudahan tempat memasak dan pembaikan lif.

Lawatan seterusnya ke Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, sebuah pusat pengajian agama yang dicetuskan oleh bekas penuntut Universiti al-Azhar dan didaftarkan di bawah Kedutaan Besar Malaysia Kaherah. Antara wakil Kerajaan Negeri yang turut sama ialah Ismail Ahmad, Exco Kerajaan Negeri Sembilan, Dato' Mohd. Khidir Majid, Pegawai Kewangan Negeri merangkap Ahli MAINS, Ir. Masri Baharuddin, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan dan Masri Razali, Timbalan Setiausaha Pengurusan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (SUK) manakala delegasi MAINS diwakili oleh pengerusinya, Dato' Mohamed Husein, Timbalan Pengerusi MAINS, Dato' Dr. Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir, 10 ahli MAINS, wakil Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Abdul Rahim Maamor, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan serta wakil Perbadanan BaitulMal Negeri Sembilan (PBMalNS) sebagai sekretariat lawatan rasmi ini.

Foto: Unit Media Baharu/Abu Aaesya


IKUTI KAMI DI FACEBOOK

Hubungi Kami

Sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan / cadangan :

Emel : info@pbmalns.gov.my
Tel :  06-7620642 / 43 / 45
Faks : 06-762 0648