Selamat Datang ke Portal Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS)

BIDANG KEPAKARAN KAUNSELING


Kaunseling Individu
Suatu proses sistematik untuk membantu perhubungan berdasarkan kemahiran dalam kaunseling yang dilaksanakan oleh kaunselor berdaftar mengikut kod etika kaunseling untuk mencapai satu perubahan, kemajuan, penyesuaian secara keseluruhan (holistik) pada diri klien tersebut.

Jenis Kes:

Pengurusan masa, kewangan dan akademik, masalah dengan rakan sekerja, majikan dan personaliti.

 

Kaunseling Perkahwinan
Kaunseling perkahwinan merupakan sesi yang melibatkan pasangan yang berkahwin. Kaunseling ini melibatkan satu proses perhubungan menolong secara bersemuka antara kaunselor dengan pasangan suami isteri yang berusaha untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan perhubungan mereka. Kaunseling perkahwinan juga membantu pasangan suami isteri untuk mengurus atau menangani masalah mereka dengan cara yang lebih efektif agar mereka dapat menghindarkan masalah kecil daripada menjadi besar dan serius.

Dalam proses kaunseling keluarga dan perkahwinan, biasanya kaunselor memberikan fokus kepada peranan, corak perhubungan, matlamat yang ingin dicapai oleh ahli keluarga atau perkahwinan pasangan (klien) yang terlibat. Kaunselor membantu klien menilai aspek positif dan negatif perhubungan mereka dan membantu mereka memahami bahawa dalam isu keluarga atau perkahwinan, ahli keluarga atau pasangan suami dan isteri menyumbang kepada pembentukan dan penyelesaian masalah. Justeru, mereka perlu belajar untuk memahami, mengubah corak berinteraksi dan mengamalkan pendekatan yang lebih berkesan bagi menangani masalah mereka.

Jenis kes:

Masalah nafkah dan tanggungjawab suami dan isteri, orang ketiga, cemburu, penjagaan anak dan orang tua.

 

Kaunseling Keluarga
Kaunseling keluarga ialah satu teknik psiko terapeutik untuk meneroka dan mengubah masalah emosi masa kini yang saling berkait dalam sesebuah sistem keluarga dengan membantu ahli-ahli di dalam sistem keluarga itu mengubah corak interaksi mereka yang tidak berfungsi" Goldenberg dan Goldenberg (2002:133).

Dalam proses kaunseling ahli-ahli keluarga dibantu untuk memperbaiki perhubungan mereka antara satu sama lain. Perubahan yang berlaku akan menyebabkan perkembangan dan pertumbuhan ahli-ahli keluarga. Semasa proses kaunseling juga, ahli-ahli keluarga berhadapan dengan konflik dan dibantu untuk menyelesaikan konflik yang dihadapi secara produktif supaya ke dua-dua individu dan keluarga berkembang, sejahtera dan 'subur'.

Jenis kes:

Masalah hubungan antara mertua dan menantu, adik-beradik, bapa dan anak dan ahli keluarga yang lain.

 

Kaunseling Kesihatan Mental
Kesihatan mental berkait rapat dengan kehidupan seharian yang merangkumi, perasaan, fikiran dan tingkahlaku yang positif dalam diri individu. Selain mampu untuk berinteraksi secara sihat dengan orang lain, kumpulan dan persekitarannya dan bagaimana seseorang itu mengendalikan tanggungjawab, masalah serta tekanan yang timbul dari kehidupan harian.

Jenis kes:

Masalah tekanan perasaan, kehilangan pekerjaan dan orang tersayang, trauma dan krisis.

 

Kaunseling Syarie
Suatu proses memberi bantuan dan bimbingan dari aspek fizikal, rohani dan spiritual oleh kaunselor syarie kepada seorang atau lebih klien yang normal dan sedang menghadapi masalah dalam hidupnya, dengan menggunakan pelbagai kaedah berpandukan Al-Quran dan Sunnah untuk membantu klien menyelesaikan masalah dalam meletakkan matlamat ke arah mencapai keredhaan Allah.

Jenis kes:

Masalah penafian klien terhadap takdir, khurafat, syirik, gangguan mahluk halus dan jin.

 

Islamic Creative Art Therapy (I-CAT)
Satu pendekatan kontemporari dalam proses kaunseling bagi memudahkan pengluahan dan perkongsian isu oleh klien. Selain itu pendekatan Islamic Creative Art Therapy (I-CAT) juga merupakan medium seni digunakan sebagai alat penghubung antara kaunselor dan klien untuk saling memahami isu yang dikongsikan dalam sesi kaunseling.

Jenis kes:

Kes seksual, trauma, gangguan jiwa, rogol, split personaliti, gangguan jiwa dan sebagainya.

 

Kaunseling Kelompok
Merupakan jenis perkhidmatan menolong yang dilakukan secara berkelompok dengan tujuan menolong yang dilakukan secara berkelompok dengan tujuan menolong lebih ramai individu yang mempunyai permasalahan yang sama pada satu-satu masa untuk membolehkan mereka memperoleh perubahan baru dalam tingkahlaku. Jenis-jenis kelompok termasuk kelompok psikoterapi, psiko-pendidikan, bimbingan, kaunseling, penyelesaian masalah dan kelompok kerja.

Jenis kes:

Masalah ponteng sekolah, merokok, pemulihan dadah, tekanan kerja dan lain-lain.

 

Perundingan dan Konsultansi
Perundingan merupakan satu unsur yang diiktiraf dalam program bimbingan. Perundingan merupakan suatu perkhidmatan tidak langsung dan diasaskan pada hubungan manusia yang dibentuk oleh konsultan atau pakar runding dengan klien. Perundingan seperti kaunseling biasanya dikaitkan dengan aspek memberi nasihat.

Keat dalam Amla H.M. Salleh dan Puteh Mohamed (1992) menghuraikan perundingan dalam latar sekolah sebagai satu proses yang di dalamnya konsultan dan orang yang diberi perundingan bekerjasama untuk membentuk cara membantu pelajar.

Dalam satu tinjauan tentang perundingan, Kurpius dan Robinson dalam Amir Awang (1989) menyatakan pada peringkat awal seorang perunding itu mestilah seorang yang mahir dalam membina perhubungan serta berjaya mendapatkan kepercayaan dan keyakinan si dirunding. Kemahiran kaunseling yang asas seperti mendengar memberi perhatian, merefleksi dengan tepat dan meneroka secara objektif membantu dalam membina perhubungan yang terbuka di antara perunding dengan si dirunding. Kebanyakan definisi perundingan juga mengandungi rujukan kepada perkataan klien, iaitu orang yang diberi perundingan dan konsultan. Klien ialah orang, pertubuhan atau sistem yang mempunyai masalah sementara orang yang diberi perundingan ialah orang yang cuba menyelesaikan masalah itu dan konsultan ialah orang yang membantu orang yang diberi perundingan untuk menyelesaikan masalah klien.

Secara tradisinya dalam seting sekolah, perunding atau konsultan dianggap sebagai profesional luaran yang dibawa masuk ke dalam sistem sekolah untuk membantu anggota kakitangan untuk merancang serta menjalankan campur tangan membantu bagi pelajar yang bermasalah khusus melalui proses perundingan. Menurut Shertzer dan Stone (1991) perundingan adalah salah satu daripada enam komponen bimbingan dan kaunseling di sekolah. Komponen perundingan dianggap sebagai perkhidmatan yang boleh dijalankan oleh seorang kaunselor sekolah untuk membantu pelajar dalam usaha-usaha kaunselor yang berbentuk pencegahan, perkembangan dan promosional. Kepakaran perunding diminta dalam kes tentang masalah perancangan dan kaedah pelaksanaan yang dapat digunakan oleh guru serta orang lain untuk menggalakkan perkembangan seorang pelajar.

Jenis kes:

Pencegahan, promosional dan perkembangan di sekolah

 

Kaunseling Kerjaya
Kaunseling kerjaya adalah satu bidang kaunseling yang khusus bagi membantu individu yang menghadapi masalah dalam pemilihan kerjaya. Selain itu, kaunseling kerjaya dilihat sebagai satu proses yang mudah dalam membantu individu membuat keputusan yang tepat berkaitan kerjaya yang dipilih oleh mereka. Tugas kaunselor berperanan dalam membantu klien untuk mendapatkan gambaran sebenar berkaitan kerjaya yang bakal dipilih klien.

Apa yang penting adalah supaya perkara ini dapat dicapai bagi membantu individu itu mengenali diri sendiri dan mengetahui maklumat lanjutan berkaitan kerjaya pilihan mereka. Justeru itu, penggunaan ujian dan inventori oleh kaunselor seiring dengan perkembangan ilmu psikologi telah berjaya membantu individu memilih kerjaya yang sesuai dengan ciri-ciri kendiri mereka.

Jenis kes:

Dilema pemilihan kerjaya, pekerjaan tidak memenuhi kelayakan, terlalu memilih pekerjaan yang sesuai dengan bidang yang dipelajari, konflik dengan pilihan keluarga

 

KAUNSELING

lokasi

  Pejabat Setiausaha MAINS, Aras 14, Menara MAINS, Jalan Taman Bunga, 70100 Seremban Negeri Sembilan

  info@mains.gov.my

  06-765 1402 / 06-765 1405

  06-762 0648

ADUAN / PERTANYAAN

MEDIA SOSIAL

fb insta youtube
© Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. All Rights Reserved.